SELAMAT DATANG KE BLOG 4 ZAMRUD

Isnin, 19 September 2011

Kebaikan membeli barangan Malaysia

Menyelusuri dasarwarsa ini, satu isu sensasi yang sering meniti dari bibir ke bibir ini ialah topik hangat yang berkaitan dengan kempen “Beli Barangan Buatan Malaysia” yang dianjurkan oleh kerajaan sejak belakangan ini. Tujuan kempen ‘Beli Barangan Buatan Tempatan” dilancarkan adalah untuk menggalakkan rakyat Malysia membeli barangan tempatan. Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammudin Tun Hussein, membeli barangan tempatan bukan sahaja murah, malah berkualiti. Dalam konteks ini, membeli barangan tempatan mendatangkan pelbagai kebaikan kepada kita.
Sebagai pembuka kata dan mukadimah bicara yang jelas dan nyata, membeli barangan buatan tempatan dapat menjimatkan perbelanjaan keluarga. Hal ini demikian kerana barangan buatan tempatan harganya lebih murah berbanding dengan barangan import. Sebagai contoh, harga motosikal buatan tempatan iaitu Kriss lebih murah berbanding motosikal yang diimport dari luar negara. Oleh itu, melalui pembelian barangan buatan tempatan dapat menjimatkan perbelanjaan untuk kegunaan lain. Pada pendapat saya, kita dapat menabung lebihan perbelanjaan untuk kegunaan masa depan seperti peribahasa sedikit-sedikit lama-lama menjadi bukit.
Kebaikan membeli barangan buatan tempatan yang seterusnya adalah dapat meningkatkan imej negara. Hal ini demikian kerana melalui pembelian barangan tempatan kita juga dapat mempromosi dan sekaligus meningkatkan jualan barangan tersebut. Sebagai contoh, makanan seperti sate, nasi lemak dan rendang merupakan antara makanan yang terkenal di persada antarabangsa. Pelancong-pelancong yang datang ke Malaysia juga akan tertarik dengan barangan buatan Malaysia seperti kraf tangan dan makanan. Pada pendapat saya, kita sebagai rakyat Malaysia perlulah berusaha meningkatkan imej negara sebagai tanda cinta akan negara.
Di samping itu, kebaikan membeli barangan tempatan adalah dapat menyemai semangat patriotisme dalam diri masyarakat Malaysia. Hal ini demikian kerana barangan yang mempunyai jenama Malaysia mampu menyemai perasaan cinta dan sayang akan tanah air. Sebagai contoh, apabila membeli barangan buatan tempatan, kita akan berasa bangga dan secara tidak langsung dapat menyemai semangat patriotisme ke atas tanah air kita ibarat kata pepatah tak kenal maka tak cinta. Pada hemat saya, kita haruslah berasa bangga kerana membeli barangan buatan Malaysia yang bukan sahaja dapat memiliki barangan yang berkualiti malah dapat menyemai semangat patriotisme terhadap tanah air kita.
Selain itu, manfaat membeli barangan buatan Malaysia yang seterusnya adalah dapat memajukan industri tempatan. Apabila kita membeli barangan buatan tempatan, secara tidak langsung dapat menyumbang kepada kemajuan industri tempatan seperti kraf tangan. Misalnya barangan buatan Malaysia seperti batik, dan tembikar merupakan antara barangan buatan Malaysia yang terkenal di persada antarabangsa. Pada pendapat saya, membeli barangan buatan Malaysia dapat meningkatkan imej negara kita sekaligus memajukan industri tempatan dan meningkatkan pendapatan negara selaras dengan peribahasa hujan emas di negara orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik juga di negeri sendiri.
Justifikasinya, jelaslah bahawa membeli barangan buatan Malaysia mendatangkan pelbagai kebaikan kepada kita. Oleh itu, saya menyeru seluruh masyarakat Malaysia supaya menyokong barangan buatan Malaysia kerana barangannya berkualiti. Saya juga berharap agar rakyat Malaysia menjadikan amalan membeli barangan tempatan sebagai satu amalan harian dalam kehidupan kita. Dalam konteks ini, semua rakyat Malaysia haruslah bekerjasama menyokong barangan buatan Malaysia supaya dapat meningkatkan ekonomi, imej dan nama baik negara ibarat kata pepatah ‘muafakat membawa berkat’ agar wawasan 2020 yang diimpikan dapat dicapai.
*Brian *Ku Azli *See *Teo *Ameera

Tiada ulasan:

Catat Ulasan