SELAMAT DATANG KE BLOG 4 ZAMRUD

Ahad, 18 September 2011

Karangan Huraian

Kebaikan Membeli Barangan Buatan Tempatan.

Pada era pascamodenisasi kini, negara Malaysia sudah duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-negara gergasi di persada dunia. Barangan Malaysia kini sudah menembusi pasaran antarabangsa. Hal ini demikian kerana kualiti barangan buatan Malaysia sudah menepati standard yang telah ditetapkan berdasarkan kualiti dan identiti barangan Malaysia yang berjaya memikat hati masyarakat luar. Oleh itu, terdapat pelbagai kebaikan membeli barangan buatan tempatan.

Antara kebaikannya adalah dengan menjimatkan perbelanjaan keluarga. Harga barangan buatan Malaysia lebih berpatutan berbanding dengan harga barangan luar yang diimport. Misalnya, jika kita membeli barangan buatan tempatan seperti barangan harian dan kereta buatan Malaysia sudah tentu harganya lebih murah berbanding dengan barangan yang dimport yang dikenakan cukai yang tinggi. Pada hemat saya, barangan buatan tempatan sudah jelas dapat mengurangkan dan menjimatkan perbelajaan sesebuah keluarga ibarat kempen yang sekarang diuar-uarkan ‘Buatan Malaysia, Pilihan Bijak’.

Selain itu, kebaikan membeli barangan buatan tempatan adalah dapat menyemai semangat patriotisme. Hal ini demikian kerana, barangan buatan tempatan yang dibeli dapat mempamerkan semangat patriotisme dan rasa bangga yang mendalam dalam kalangan masyarakat tempatan terhadap barangan buatan tempatan kita sendiri apabila jenama negara kita Malaysia terpampang luas dimata masyarakat asing. Contohnya, apabila rakyat Malaysia yang menggunakan dan membudayakan barangan buatan tempatan, secara tidak langsung mereka telah menunjukkan bahawa mereka menyokong dan menyahut seruan kerajaan. Pada fikiran saya, rakyat Malaysia seharusnya membeli barangan buatan tempatan untuk meningkatkan semangat patriotisme yang mendalam dalam diri masing-masing sebagai tanda cinta terhadap tanah air. Ibarat peribahasa dapat sama laba, cicir sama rugi.

Seterusnya, kebaikan membeli barangan buatan tempatan juga dapat memajukan indusrti tempatan. Hal ini demikian kerana dengan pembelian barangan buatan negara kita sendiri, secara tidak langsung kita juga turut menyumbang kepada peningkatan taraf hidup orang tempatan dan kemajuan negeri kita dari pelbagai bidang seperti social, politik dan khususnya ekonomi negara kita juga dapat ditingkatkan. Misalnya, barangan buatan tempatan kraf tangan seperti batik, tembikar dan labu sayong daripada air tangan masyarakat tempatan kita sendiri sudah ada yang berjaya menembusi pasaran luar negara seperti London. Pada hemat saya, membeli barangan buatan tempatan bukan sahaja memajukan industri negara kita tetapi juga turut menyumbang imej baik di mata pelancong asing untuk melancong ke negara kita. Persis peribahasa, hujan emas di negara orang, hujan batu di negeri sendiri, baik juga di negeri sendiri.

Justifikasinya, sudah terang lagi bersuluh bahawa barangan buatan tempatan adalah jauh lebih baik daripada barangan buatan luar. Oleh itu, saya mencadangkan masyarakat membuka mata supaya membeli barangan buatan Malaysia kerana barangan buatan negara kita sudah terbukti dan diiktiraf kualitinya. Saya juga berharap agar masyarakat Malaysia membudayakan barangan buatan Malaysia. Dalam konteks ini, jika masyarakat Malaysia bekerjasama menyokong barangan buatan tempatan sudah tentu kita dapat turut membangunkan ekonomi negara supaya bertambah maju persis peribahasa 'muafakat membawa berkat'. Oleh itu, Belilah Barangan Buatan Malaysia !

Ahli kumpulan:
-Wei Wee
-Fairuz
-Devan
-Yichi
-Saripa
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan