SELAMAT DATANG KE BLOG 4 ZAMRUD

Sabtu, 8 Oktober 2011

TAJUK FORUM : INTERNET – KEBAIKAN & KEBURUKAN INTERNET
                                DALAM KALANGAN PELAJAR

Sayang kumbang mencari makan,
Terbang seiring di tepi kali,
Selamat datang kami ucapkan,
Moga diiring restu Ilahi

Pengerusi : Bismillahhirahmannirrahim, Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan salam sejahtera saya ucapkan kepada warga dewan sekalian, selamat datang dan selamat bertandang ke gelanggang Forum Remaja. Topik kita pada hari ini ”INTERNET – Kebaikan dan Keburukan  Internet dalam kalangan pelajar”. Sebelum saya memulakan perbincangan ini, izinkan saya mengupas sedikit tentang tajuk forum ini. Internet merupakan satu sistem komunikasi yang menyampaikan maklumat di seluruh dunia. Sistem ini boleh diperolehi melalui komputer yang disambungkan ke talian telefon, sistem wifi, dan juga melalui modem. Dalam dunia yang serba moden kala ini, seluruh masyarakat dunia berlumba-lumba untuk belajar dan memiliki talian internet sendiri di rumah. Melalui internet, kita boleh menerima maklumat dengan cepat. Dalam erti kata lain, segala-galanya berada di hujung jari dalam dunia berteknologi tinggi dewasa ini. Dengan hanya satu klik, kita boleh mengetahui perkembangan luar negeri, mahupun perkembangan isu semasa di negara kita. Dengan itu, tidaklah kita menjadi seperti katak di bawah tempurung.
       Sebelum saya memulakan perbincangan pada hari ini, saya ingin memperkenalkan ahli-ahli panel kita ini. Bersama saya adalah 3 orang ahli panel yang tidak asing lagi. Jangan ragu dan jangan risau kerana nampaknya warga dewan kita tidak senang duduk melihat ketiga-tiga orang ahli panel kita pada hari ini . Baiklah di sebelah kanan saya, ahli panel kita yang pertama, nampak pemalu tetapi bijak berkata-kata, saudara (Bryan Tan). Selamat datang saudara. Seterusnya ahli panel kita yang kedua, ayu lagi bergaya, saudari (See Yi Xuen). Selamat datang saudari. Dan di hujung sana, nampak pendiam tetapi petah berkata, saudara (Ng Sau Yik). Selamat datang juga buat saudara. Baiklah sebelum saya menyimpang lebih jauh , soalan saya pada panel pertama, apakah maksud internet yang di uar-uarkan oleh remaja mahupun orang yang sudah berusia pada masa kini?

Panel Pertama:
Selamat sejahtera saya ucapkan kepada hadirin yang dihormati sekalian. Terima kasih kepada saudari pengerusi,Menurut Kamus Dewan edisi Keempat  Internet bermaksud rangkaian komputer antarabangsa yang membolehkan pengguna komputer di seluruh dunia berhubung antara satu sama lain dan mencapai maklumat pangkalan data dari seluruh dunia .Ramai yang menggunakan internet pada masa kini untuk bertujuan meninmba ilmu ataupun mencari pekerjaan. Walau bagaimanpun , internet ini dapat mendekatkan hubungan kita dengan keluarga atau sahabat-sahabat yang jauh di perantauan .
Pengerusi : Terima kasih kembali kepada panel pertama kita. Sebentar tadi panel pertama ada menyatakan bahawa penggunaan internet dapat mendekatkan perhubungan di antara sahabat mahupun keluarga yang jauh di perantaun, bolehkan saudari terangkan bagaimana untuk mendekatkan perhubungan tersebut dengan menggunakn internet?
Panel Kedua: Selamat sejahtera saya ucapkan kepada hadirin sekalian. Soalan yang amat menarik saya akan menerangkan satu persatu. Seperti yang kita ketahui, masyarakat sekarang ramai yang menggunakan internet sebagai perhubungan yang sangat mudah untuk digunakan pada masa kini. Banyak contoh yang terdapat di dalam penggunaan internet untuk menghubungkan talian tersebut. Antara contohnya ialah emel , facebook , myspace, skype dan sebagainya . Walaubagaimanapun , tidak ke semuanya menganggap penggunaan komuniti ini bagus , ada juga yang menganggap ia sebagai satu benda yang boleh mendatangkan keburukan kepada diri sendiri mahupun pengguna internet ini.

Pengerusi : Terima kasih kepada panel kedua kita, sekarang sudah terang lagi bersuluh bahawa internet adalah penghubung yang sangat mudah untuk digunakan pada masa kini. Tidak semua penggunaan internet ini ada baiknya , tetapi sebelum kita bercerita lebih lanjut mengenai keburukan menggunakan internet , apa kata panel kita yang ketiga mengemukakan pandangan beliau mengenai penggunaan internet juga boleh digunakan untuk menimba ilmu ataupun mencari pekerjaan? Silakan saudara.

Panel Ketiga : Salam sejahtera saya ucapkan kepada warga dewan sekalian. Terima kasih kerana menjemput saya untuk berbicara dalam majlis forum ini, antara kebaikan penggunaan internet ini adalah untuk menimba ilmu atau mencari pekerjaan. Terdapat banyak laman web yang mengutarakan tentang pendidikan ataupun pekerjaan. Pada masa kini juga, ramai remaja yang hanya duduk di rumah sementara menunggu keputusan peperiksaan di keluarkan, tidak ada salahnya untuk mencari pengalaman bekerja sementara menunggu. Banyak masa yang terbuang jika remaja hanya duduk di rumah ataupun hanya duduk lepak bersama kawan tanpa arah tuju. Remaja boleh melayari internet untuk mencari pekerjaan. Walaupun ianya hanya sementara, tetapi sekurang-kurangnya masa itu tidak di buang begitu sahaja. Pepatah menyatakan bahawa Masa itu Emas, oleh itu kita harus sama-sama menghargai setiap detik yang berlalu dengan mengisikannya dengan benda yang bermanfaat.

Pengerusi: Panel kita yang ketiga tadi menerangkan bahawa internet juga menyediakan pekerjaan-pekerjaan untuk remaja yang sedang menunggu keputusan peperiksaan. Betul kata panel kita yang ketiga tadi, adalah lebih baik remaja mencari pekerjaan sementara menunggu keputusan peperiksaan dikeluarkan. Baiklah, itu antara kebaikan yang terdapat dalam penggunaan internet. Sekarang kita beralih pula kepada keburukan menggunakan internet. Soalan saya kembali kepada panel kita yang pertama, apakah antara keburukan yang terdapat dalam penggunaan internet?


Panel Pertama: Disebalik kebaikan yang begitu terdapat beberapa kelemahan atau keburukan Internet. Ia ibarat sebilah pisau yang begitu berguna jika digunakan untuk memotong buah atau sayur tetapi menjadi satu kesalahan pula jika ia digunakan untuk membunuh. Terdapat beberapa keburukan Internet seperti medium penyebaran dakyah jahat. Memberi maklumat palsu untuk kepentingan puak tertentu. Malah terdapat juga laman web yang mengajar cara-cara membuat bom seperti yang diusahakan oleh kumpulan mafia ’Trendy Coat’. Medium penyebaran virus terutama penyebaran melalui penghantaran e-mel seperti virus Mutant, Melissa dan yang terbaru adalah virus CIH yang menyerang sistem komputer hingga lumpuh keupayaannya. Kesan daripada serangan virus hinggalah merosakkan sistem sesebuah PC. Pecah-masuk ke sistem lain iaitu pencerobohan memasuki ke sistem orang lain tanpa hak seperti penyelewengan akaun bank. Terdapat banyak kes yang terjadi melalui internet. Antaranya penipuan melalui laman web yang kini kian bermaharajalela. Bagi yang tidak mengetahuinya, kemungkinan akan menjadi mangsa kepada sindiket penipuan ini. Mereka berkemampuan untuk mendapatkan wang mangsa dengan berbagai-bagai cara. Adakalanya ia berlaku di luar sedar mangsa. Ini kerana penganjur penipuan ini menggunakan taktik psikologi sehingga mangsa mempercayai dakwaan sindiket itu. Biasanya penipuan ini menghubungi mangsanya melalui emel yang biasa digunakan oleh para pelajar.Namun, ianya tidak harus dijadikan penghalang pada pelajar untuk menggunakannya.

Pengerusi: Terima kasih atas pendapat panel kita yang pertama mengenai keburukan internet tersebut . kita sendiri dapat lihat , banyak penipuan yang berlaku dan disebarkan melalui internet . apakah contoh lain selain penipuan yang terdapat dalam internet , soalan ini saya ajukan kepada panel kita yang kedua . silakan saudari .

Panel Kedua: Terima kasih saudari pengerusi majlis, antara contoh lain yang terdapat dalam penggunaan internet ialah laman web yang yang berunsurkan pornografi atau lucah. Pelajar zaman sekarang ramai yang mengetahui internet menyediakan laman web yang berunsurkan pornografi membuatkan pelajr rasa ingin mengetahui isi kandungan dalam laman web ini. Ini adalah salah satu sebab kenapa di nyatakan bahawa internet juga ada keburukannya kepada pengguna internet. Tanggungjawab ibubapa haruslah ditekankan lagi bagi menjaga setiap perbuatan yang anak mereka lakukan. Ini semua akan menjejaskan pelajaran mereka. Otak mereka akan menjadi sempit dan cetek. Pengetahuan mereka hanya setakat itu sahaja. Mereka akan menumpukan pada laman web yang berunsurkan pornografi atau lucah ini. Ibu bapa harus memantau anak-anak mereka semasa menggunakan internet.

Panel Pertama: Maafkan saya saudari pengerusi, saya ingin menambah sedikit apa yang dikatakan saudari panel kedua.

Pengerusi: Silakan saudara.

Panel Pertama: Terima kasih. Kita sedia maklum bahawa pelajar sekarang lebih social berbanding dengan pelajar dahulu. Sikap ingin lebih tahu tertumpu kepada mereka. Kita tidak boleh menyalahkan laman web yang menyediakan unsur-unsur sedemikian, tetapi ibubapa harus mendidik anak-anak mereka dengan lebih tegas. Penggunaan internet juga ada batasnya, ibubapa boleh menterhadkan penggunaan internet tersebut. Ibubapa boleh menghalang kemasukan untuk laman web yang berunsurkan benda negetif dengan menggunakan perisian tapisan seperti Cyberpatrol, Cybersitter, Surfwatch dan Net-Nanny pada komputer.

Pengerusi: Terima kasih saudara. Jika panel kedua kita tadi menyebutkan tentang laman web yang berunsur pornografi , saya pasti ramai yang ingin tahu apakah pendapat bagi panel kita yang ketiga mengenai keburukan menggunakan internet . silakan saudara .

Panel Ketiga : Terima kasih. Saya amat bersetuju dengan pendapat yang diberikan oleh panel pertama dan kedua kita tadi. Bagi pandangan saya, terlalu banyak keburukkan yang terdapat dalam penggunaan internet tersebut. Bukan setakat penipuan atau pun laman web yang berunsurkan pornografi. Malah banyak lagi yang terdapat di dalam internet tersebut. Bagi saya, kita harus berhati-hati dengan menggunakan internet. Jika kita bijak menggunakannya, benda negetif yang terdapat di dalam internet tersebut tidak akan menjejaskan penggunaan yang baik.

Pengerusi: Terima kasih saya ucapkan kepada ketiga-tiga ahli panel kita kerana sudi hadir dan sudi menyuakan pendapat masing-masing pada hari ini. Moga apa yang kita dapat hari ini tidak sekadar ” masuk telinga kanan, keluar telinga kiri”. Nampaknya masa amat mencemburui kita, sebelum berakhir saya berharap warga dewan berhati-hati semasa menggunakan internet agar keburukan internet ini dapat dielakkan.Kesimpulannya penggunaan internet bukan sahaja disediakan untuk kebaikan , malah keburukan juga terdapat dalam kandungan isi internet . ”pengayuh sudah ditangan , perahu sudah di air ” fikir-fikirkan dan jangan sekali berhenti berfikir!

  Dari Kedah ke Pekan Sari,
  Beli suasa di Kota Tinggi,
  Selesai sudah tugas diberi,
  Di lain masa bersua lagi.

Saya sudahi dengan Wabillahi Taufik Walhidayah Wasalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan sekian terima kasih.

AHLI KUMPULAN:-Bryan Tan  -Ng Sau Yik  -Syahirah Liyana  -See Yi Xuen

2 ulasan: