SELAMAT DATANG KE BLOG 4 ZAMRUD

Jumaat, 16 September 2011

[[Kebaikan Membeli Barangan Buatan Tempatan]]

Apakah yang dimaksudkan barangan buatan tempatan? Apakah kepentingan membeli barangan buatan tempatan? Apakah tindakan yang wajar diambil oleh kerajaan bagi mempromosikan barangan buatan tempatan? Barangan buatan tempatan boleh didefinisikan sebagai barangan yang dihasilkan di negara kita sendiri. Perdana Menteri Malaysia yang keenam, Datuk Seri Haji Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak, telah menyaran dan menggalakkan semua rakyat Malaysia supaya membeli serta menyokong barangan buatan tempatan kita supaya mendatangkan pelbagai kebaikan. Pada hemat saya, barangan buatan Malaysia adalah yang terbaik dan berkualiti tinggi.
Antara kebaikan yang akan didatangkan dengan membeli barangan buatan tempatan adalah dapat menjimatkan perbelanjaan keluarga. Hal ini demikan kerana harga barangan buatan Malaysia lebih rendah berbanding barangan buatan negara lain. Menurut statistik yang terbaru, bilangan pengguna yang membeli barangan buatan tempatan telah meningkat sebanyak 20 peratus pada tahun 2010 berbanding tahun 2009. Pada pendapat saya, rakyat Malaysia perlulah bekerjasama menyokong barangan buatan tempatan supaya negara Malaysia lebih maju dan melangkah kehadapan menuju Wawasan 2020.
Lantaran idea saya yang seterusnya ialah rakyat Malaysia seharusnya menyokong jenama negara sendiri dengan membeli barangan buatan tempatan. Hal ini demikian kerana dengan sokongan rakyat sendiri, semua halangan dalam meningkatkan jenama barangan buatan Malaysia dapat diharungi. Menurut Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Haji Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak, pembelian barangan buatan tempatan boleh menyemai semangat patriotisme dalam diri rakyat. Pada pendapat saya, rakyat Malaysia perlulah bekerjasama dengan pihak kerajaan supaya kemajuan ekonomi Negara dapat dijaminkan. Hal ini selaras dengan peribahasa Malayu, bagai aur dengan tebing.
Selain itu, tiada sesiapa yang dapat menafikan bahawa membeli barangan buatan tempatan akan meningkatkan imej negara kita. Pelbagai makanan tradisional negara kita seperti sate dan juga rendang yang dikenali sebagai makanan tersedap telah mendapat sambutan yang hangat di persada dunia. Oleh itu, Perdana Menteri negara kita, Datuk Seri Haji Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak amat menggalakkan para pedagang tempatan supaya memajukan industri negara kita ke luar negara. Pada pendapat saya, kita sebagai rakyat Malaysia perlulah menyokong barangan buatan tempatan bagi meningkatkan lagi imej negara kita.
Di samping itu, dengan membeli barangan buatan tempatan, industri tempatan dapat dimajukan. Negara kita bukan sahaja terkenal dengan makanan tradisional tetapi juga terkenal dengan kraf-kraf tangan yang unik seperti batik. Hal ini telah menarik banyak pelancong asing datang ke negara kita untuk membeli kraf tangan buatan tempatan dan turut memajukan industri tempatan negara kita. Menurut Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri,
 Dato’ Sri Mustapa bin Mohamed, industri tempatan negara kita semakin berkembang maju dari setahun ke setahun. Oleh itu, kita yang bersemangat patriotisme haruslah menyokong barangan buatan tempatan supaya industri tempatan negara kita dapat dimajukan lagi.
Tuntasnya, pembelian barangan buatan tempatan oleh rakyat Malaysia akan membawa  manfaat yang banyak kepada kita mahupun negara. Pihak kerajaan perlu memperbanyak serta meningkatkan kualiti barangan buatan tempatan supaya pembeli-pembeli negara kita mempunyai pilihan yang lebih banyak dan berkualiti. Dengan ini, rakyat Malaysia akan lebih berminat untuk membeli barangan buatan Malaysia dan turut mencapai Wawasan 2020. Oleh itu, saya ingin menegaskan lagi bahawa membeli barangan buatan tempatan merupakan pilihan yang terbaik bagi rakyat Malaysia untuk menyokong gagasan 1Malaysia.
-------------------------------------------------------------------------------------------------
@ Bryan @ HuiNi @ WoonKee @ ZhiYun @ Naim @ 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan