SELAMAT DATANG KE BLOG 4 ZAMRUD

Jumaat, 16 September 2011

KARANGAN BERPANDU :KEBAIKAN MEMBELI BARANGAN BUATAN TEMPATAN

 Slogan Belilah Barang Buatan Malaysia merupakan slogan yang sering kita dengar sama ada di televisyen atau di radio. Barang buatan Malaysia ialah barang yang dihasilkan di dalam negara. Antara barang buatan Malaysia adalah seperti kereta Proton Saga, barangan tembikar, batik lukis dan perabot rotan. Banyak kilang yang didirikan untuk menghasilkan barangan tempatan. Oleh yang demikian , rakyat perlulah menjadi pengguna yang bijak dengan membeli barangan tempatan. Pada hemat saya , terdapat banyak kebaikan membeli barangan buatan tempatan .
           Sebagai lontaran idea yang pertama , kebaikan membeli barangan buatan Malaysia dapat menjimatkan perbelanjaan keluarga. Kita dapat menjimatkan perbelanjaan jika kita membeli barangan tempatan. Harga barangan tempatan lebih murah berbanding barangan import. Sebagai contoh harga motosikal buatan tempatan, iaitu Kriss lebih murah berbanding motosikal import. Oleh itu, dengan membeli barangan buatan tempatan, kita dapat menjimatkan perbelanjaan untuk membeli barangan lain. Dalam hal ini, kita dapat menabung untuk masa depan, bak kata peribahasa sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit.
          Seterusnya , dengan membeli barangan buatan tempatan , kita dapat menyemai semangat patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia .Pihak kerajaan sepatutnya mengadakan Kempen Sokonglah Jenama Malaysia secara berterusan . Dengan cara ini , kita dapat menggalakkan rakyat membeli barangan buatan Malaysia dan seterusnya memupuk perasaan cinta akan negara , bak kata pepatah , tak kenal maka tak cinta .
          Tambahan pula , kebaikan membeli barangan buatan tempatan dapat memajukan industri tempatan . Pada era globalisasi ini , terdapat banyak industri desa  yang muncul seperti cendawan tumbuh selepas hujan . Antara contoh industri desa yang terkenal di Malaysia ialah industri batik , kraf tangan , songket , dan tembikar . Industri ini dapat membantu rakyat hidup dengan lebih selesa. Oleh itu , rakyat dapat membantu perkembangan industri tempatan .
          Dalam pada itu, kebaikan membeli barangan buatan tempatan dapat meningkatkan imej negara . Barangan buatan tempatan merupakan barangan yang bermutu di negara kita . Mutu barangan buatan tempatan sama dengan mutu barangan import . Sebagai contoh barangan daripada kulit , seperti kasut , beg , dan dompet menjadi buah tangan pelancong yang datang di negara kita . Malaysia dikenali dalam kalangan pelancong kerana menghasilkan barangan yang berkualiti sekaligus dapat menambah pendapatan negara .
          Justifikasinya , industri barangan tempatan memberi banyak kebaikan kepada pelbagai pihak. Kita perlu bekerjasama untuk memajukan industri barangan tempatan. Kita juga bertanggungjawab untuk memastikan Malaysia duduk sama rendah berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju. Belilah barangan buatan Malaysia kerana barang buatan Malaysia merupakan kebanggaan kita bersama.
--------------------------------------------------------------------------------------

DISEDIAKAN OLEH : 
 1) KOO CHIN HOE
 2) LEE ZI JIAN
 3) NUR FASIHAH BT MOHAMAD
 4) DHIVYA

2 ulasan: